Ada banyak kelebihan selawat itu jika diamalkan secara ikhlas. Selawat adalah salah satu kaedah yang telah Allah SWT ajar kepada kita untuk menyelesaikan kemelut nafsu Ammarah dan Lawwamah.
Nabi Adam a.s. manusia pertama di dunia, juga menyelesaikan kemelutnya ketika dikeluarkan daripada Syurga, iaitu bertawassul dengan menggunakan nama Nabi Muhamad SAW. Apabila Nabi Adam a.s. tercampak ke dunia, selama empat puluh tahun, baginda menangis memohon keampunan daripada Allah Taala.
Setelah diketemukan semula baginda dengan isterinya Hawa, iaitu di Jabal Rahmah, Adam a.s. dibuka kasyafnya oleh Allah Taala untuk melihat perkataan. Perkataan ini dilihat oleh Nabi Adam a.s tertera di tiang arash Syurga. Dengan menggunakan kebesaran dan keberkatan nama Nabi Muhamad SAW, Adam a.s. memohon keampunan daripada Allah sambil mengucap dua kalimah syahadah ini.
Allah Taala kemudiannya mengampunkan Nabi Adam a.s. Contoh lain ialah kisah Qabil dan Habil (anak Nabi Adam a.s). Ketika Qabil yang telah membunuh saudara kandungnya Habil, sedang ditenggelamkan oleh Allah SWT hingga ke paras pinggang ke dalam tanah, tiba-tiba teringat dia akan pengalaman ayahnya iaitu Nabi Adam a.s. lalu Qabil bertawassul dengan kebesaran dan keberkatan nama Nabi Muhamad SAW, sehingga azabnya diringankan daripada ditelan bumi kepada dicampakkan sahaja di tengah-tengah padang pasir.
Antara Kelebihan Membaca Selawat adalah:
- Para Malaikat akan berselawat pula ke atas pembaca selawat itu dan Allah akan menurunkan rahmatNya.
- Allah akan mengurniakan kekayaan seumur hidupnya mereka yang berselawat 500 kali sehari, insya Allah akan memperoleh kemenangan dan keselamatan selamanya.
- Akan terhapus sifat marah dan terjauh dari bala bencana menjadi kekasih kepada kekasih Allah.
- Terhindar daripada mengalami kesukaran untuk mencapai sesuatu yang dihajati. Mendapat rezeki yang berkat, berhasil hajatnya dan terlindung daripada bala bencana.
- Mendapat syafaat di dunia dan di akhirat.
- Allah akan menggandakan limpah kurnia serta Rahmat kepadaNya orang tersebut.
- Akan beroleh syafaat kepada Rasulullah padahari kiamat kelak.
- Satu kali selawat yang dibacakan, Allah akan membacakan untuknya sebanyak sepuluh kali.
- Dapat membersihkan hati, jiwa dan roh kotor yang berselaput di dalam dada.
- Membuktikan kecintaan dan kasih sayang kita terhadap Rasulullah SAW.
- Mewariskan kecintaan Rasulullah SAW pada umatnya.
- Memantapkan iman di dalam dada.
- Malaikat juga akan membaca selawat ke atas orang yang membaca selawat untuk Rasulullah SAW.
- Seseorang itu akan terpelihara dan terselamat dari segala apa yang mendukacitakan atau yang merbahaya dari hal-hal keduniaan mahupun akhirat.
- Kedudukannya di akhirat kelak ia sentiasa hampir di sisi Rasulullah SAW walau di mana saja baginda berada.
Wallahua’lam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan