Huduh betul kalau tak tutup mulut.
Adalah menjadi kebiasaan bagi kita semua untuk MENGUAP. Kita biasanya akan menguap apabila mengantuk dan tak cukup tidur. Mengikut sains, menguap dikatakan berpunca daripada kekurangan oksigen.
Saya bukanlah menolak penerangan menurut kajian sains tu. Yaa, tak cukup oksigen mungkin menyebabkan kita rasa mengantuk dan seterusnya menyebabkan kita menguap.
Tapi kenapa ramai diantara kita ni akan mudah sekali menguap apabila membaca buku-buku pelajaran, buku-buku agama atau dengar ceramah agama. Perasankah kita, kita ni mudah sekali menguap apabila kita membuat perkara yang kita kurang gemar. Jarang sekali kita rasa mengantuk dan menguap apabila kita menonton movie atau drama yang kita suka. Atau bagi yang lelaki, masa tengok bola. Walaupun dah lewat malam, tapi tak rasa mengantuk dan tak menguap pun. Kenapa yer?
Kali ini, saya ingin membawa kepada anda satu persoalan. Tahukah kita bahawa Agama Islam ada mengajar cara-cara dan adab-adab bagaimana untuk menguap? Apakah adab-adab menguap itu?
Sukacita saya ingin berkongsi dengan anda tentang adab-adab menguap seperti yang diajarkan oleh Nabi SAW.
Berikut ini adalah beberapa adab menguap.
1. Menahan menguap sekadar termampu:
Diriwayatkan oleh Al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a., daripada Nabi s.a.w., bahwasanya baginda bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah Ta’ala suka orang yang bersin, dan membenci orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu bersin, lalu dia mengucapkan ‘Alhamdulillaah’, maka adalah hak atas setiap Muslim yang mendengarnya mengucapkan ‘Yarhamukallaah!’. Adapun menguap itu adalah daripada syaitan. Maka apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia menahannya sekadar termampu. Sebab sesungguhnya apabila seseorang kamu menguap, syaitan akan mentertawakannya.
2. Meletakkan tangan di atas mulut untuk menahan menguap:
Diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Said Al-Khudri r.a., katanya : Telah bersabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
Apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia meletakkan tangannya pada mulutnya, kerana sesungguhnya syaitan itu akan masuk (melalui mulut yang terbuka).
Kebanyakan ulama menghukumkan sunnat meletakkan tangan di mulut ketika menguap, sama ada di dalam sembahyang ataupun di luarnya.
3. Makruh mengangkat suara ketika menguap:
Diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad dan At-Termizi daripada nabi s.a.w., katanya yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang bersin, dan membenci orang-orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu menguap, jangan sampai berbunyi haaa haaa, kerana yang demikian itu daripada syaitan yang mentertawakanmu.
Ibnu As-Sunni telah meriwayatkan pula daripada Abdullah bin Az-Zubair r.a., katanya: Telah bersabda Rasullah s.aw. yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah azzawajalla membenci mengangkat suara ketika menguap dan bersin.
Ada diriwayatkan iaitu apabila seseorang itu dapat menahan menguap, lalu dia berkhayal dalam ingatannya, bahawasanya Nabi alaihis-salam tidak pernah menguap sama sekali, niscaya akan hilang perasaan hendak menguap itu dengan izin Allah.
Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita semua untuk mengamalkannya....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan